Tidak cukup dengan menolak bakal munculnya Imam Mahdi ke dunia ini,
sebagian ulama, cendekiawan dan sarjana telah berlebih-lebihan dalam
penolakan mereka. Hal ini benar-benar terjadi sehingga mereka
mendakwakan bermacam-macam perkara, dari hujah yang dapat diterima oleh
akal, hinggalah kepada hujah-hujah yang langsung tidak dapat diterima
oleh akal kita yang sihat. Semua ini menunjukkan penolakan yang
berlebih-lebihan dan penuh emosi, tanpa dapat memikirkan mana yang benar
dan mana yang salahnya lagi. Akhirnya mereka menjadi sesat dan
seterusnya coba menyesatkan pula orang lain.
Penolakan ini bermula dari yang sederhana hinggalah kepada yang
melampau. Hal ini sebenarnya adalah suatu yang sudah lumrah dalam
kehidupan kita sehari-hari, di mana-mana pun jua, pada mana-mana bangsa,
pada mana-mana agama pun. Semuanya ada yang bersikap kurang bijak dan
tidak menunjukkan kematangan ilmu dan pengalaman.
Terdapat banyak faktor yang menyebabkan mereka menjadi demikian,
mengeluarkan pendapat yang jauh bercanggah dengan jumhur ulama dan
sebenarnya menimbulkan lebih banyak lagi perpecahan pendapat di kalangan
umat Islam, antaranya:
1.Rasa rendah diri kepada dunia Barat yang sedang ‘memerintah’ dunia
ketika itu. Pertentangan yang amat hebat antara tamadun Islam yang
hampir rata dengan bumi dengan tamadun Barat yang sedang marak
mengembangkan sayapnya ke seluruh dunia menyebabkan para cerdik pandai
ini mencari-cari kesalahan di dalam umat Islam sendiri. Hasilnya, mereka
nampak bahwa kepercayaan kepada munculnya Imam Mahdi adalah salah satu
punca yang memundurkan umat Islam. Maka disalahkanlah Imam Mahdi itu
kerana menyebabkan umat Islam mundur, dan tamadunnya hampir runtuh.
2.Kurang ilmu agama, tetapi cuba-cuba mencampuri urusan agama. Ini
berlaku kepada beberapa orang cerdik pandai terutama di Timur Tengah dan
Mesir. Akibatnya mereka terjebak dalam perangkap yang sengaja mereka
cari dan masuki. Akibatnya, mereka sampai ke tahap merendah-rendahkan
peribadi Rasulullah SAW sendiri, sama ada secara mereka sedar atau tidak
sedar.
3.Berlainan akidahnya daripada akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah. Mereka
ini kebanyakannya adalah dari kalangan pengikut mazhab Syiah. Antara
tujuannya adalah untuk menimbulkan ragu-ragu terhadap hadis mengenai
Imam Mahdi Ahlus Sunnah dan pada masa yang sama coba menerapkan
kepercayaan terhadap Imam Mahdi Syiah mereka pula.
4.Pengaruh persekitaran yang menekan mereka. Ketika itu, umat Islam
memang diakui sedang amat lemah dari segala segi. Banyak perbalahan
berlaku disebabkan oleh perkara remeh-temeh, khilafiah dan ijtihad
semasa. Perbalahan yang berlaku antara pengikut mazhab yang berlainan
juga boleh membawa pergaduhan dan pertumpahan darah sesama umat Islam.
Antara soal yang sering dipertikaikan termasuklah mengenai diri Imam
Mahdi. Kerana itu, mereka berasa perlu mencampuri urusan ini dan
mengeluarkan pendapat mereka pula, yang mereka rasakan betul, walhal
pendapat merekalah yang sebenarnya pelik-pelik dan ganjil-ganjil.
4.Pengaruh pendidikan sekular yang menguasai jiwa dan pemikiran mereka.
Maka berdasarkan logik ilmu sains yang dipelajarinya itulah yang diguna
pakai untuk menilai, mengkritik dan menghuraikan konsep Imam Mahdi itu,
tanpa menyedari pendapat mereka itu tidak sesuai dengan kaedah
penilaian, kritikan dan huraian yang sebenar menurut Islam. Memang
menurut kaedah sains, Imam Mahdi adalah sesuatu yang tidak logik.
5.Mempunyai sikap merendah-rendahkan golongan ulama terdahulu yang sudah
berjasa besar. Antara ulama besar yang sering dijadikan sasaran adalah
seperti Imam Ibnu Hajar, Imam as-Suyuti dan Imam Mahyuddin Ibnu Arabi.
Mereka ini sering dijadikan mangsa kerana mereka inilah yang menyatakan
secara berani dan tegas pendapat mereka terhadap konsep Imam Mahdi.
Banyaklah komen dan kritikan hebat ditujukan khusus kepada mereka ini,
seolah-olah si pengkritik itu adalah lebih bijak, pandai dan takwa
daripada yang dikritik. Seolah-olah si pengkritik itulah yang lebih
bijaksana dan lebih dalam ilmunya.
6.Memandang rendah agama sendiri. Mereka ini memang datang dari golongan
yang mendapat pendidikan sekular, berfikiran sekular dan hidup secara
sistem sekular yang dipelajarinya itu. Kesannya, mereka sentiasa
memandang rendah setiap apa yang disebutkan oleh para ulama terdahulu
berhubung soal-soal agama, termasuklah soal Imam Mahdi ini. Mereka malu
dengan agama sendiri dan menganggap agama Islam sebagai agama low-class.
Tamadun Barat dipandang lebih tinggi daripada agama Islam.
7.Menolak berlakunya karamah kepada para wali. Dalam hadis dan riwayat
mengenai Imam Mahdi, perkara keramat kepada Imam Mahdi itu adalah suatu
yang lumrah, dan sekali imbas seolah-olah melebihi apa yang pernah
berlaku kepada Nabi Muhammad SAW. Kerana itulah ramai ulama moden hari
ini mempertikai kesahihan hadis-hadis tersebut karena tidak bersesuaian
dengan hukum syarak dan logik akal mereka. Bolehkah Imam Mahdi itu
mendapat suatu keramat yang kehebatan keramat itu tidak pernah diterima
oleh sesiapa pun termasuk Rasulullah SAW sendiri? Demikian antara soalan
yang sering dijadikan alasan. Seterusnya, hadis-hadis sedemikian
ditongsampahkan sahaja oleh mereka, dan periwayatannya dianggap sebagai
suatu cerita dongeng semata-mata.
8.Mahukan umat Islam membina kemajuan sendiri yang setanding dengan
kemajuan dunia Barat. Jika umat Islam asyik dengan Imam Mahdi sahaja,
sampai bila-bila pun mereka tidak akan maju dan akhirnya akan menjadi
pengikut kepada kemajuan yang dicipta oleh Barat. Maka mereka harus
melupakan Imam Mahdi dan bangun serentak membina kekuatan dan kemajuan
sendiri, yang setanding atau lebih maju dari apa yang sedang dikecapi
oleh Barat hari ini, katanya.
9.Mahukan agama dan umat Islam dibersihkan dari sebarang noda dan
kekotoran syirik. Mereka mendakwa umat Islam telah secara sedar atau
tidak sedar, tercemar akidahnya disebabkan mempercayai Imam Mahdi yang
akan muncul suatu hari nanti. Mereka berasa amat sedih atas apa yang
berlaku ini dan menentang sekeras-kerasnya karena mau umat Islam bersih
semula akidahnya dari sebarang syirik Imam Mahdi itu dan mempercayai
konsep Imam Mahdi secara ala kadar sahaja, tak usah lebih-lebih. Menurut
mereka, tidak akan ada keramat Imam Mahdi yang zahirnya mampu melebihi
dari apa yang pernah diterima oleh Nabi Muhammad SAW sendiri.
10.Sengaja mahu mencari nama dengan menimbulkan isu-isu sensasi.
Golongan sebegini tidak ramai tetapi amat berkesan dalam usahanya
mempengaruhi kumpulan umat yang lemah iman dan cetek ilmunya. Biasanya
usaha mereka ini dapat dihidu dengan cepat dan dibendung lebih awal.
Jika tidak dibendung pun, pasti akan musnah bersama-sama musnahnya si
pembawa cerita itu. Lazimnya mereka membawa isu-isu yang berbentuk
negatif dan memburuk-burukkan Islam melaluinya.
11.Terpengaruh dengan kaedah Zionis yang berjaya menghapuskan
kepercayaan munculnya Messiah daripada khayalan hati sanubari bangsa
Yahudi, yang akan menyelamatkan dunia ini, dan mereka kembali semula ke
dunia nyata, berusaha membina kekuatan sendiri tanpa perlu mengharap
kedatangan sang Messiah itu untuk menyelamatkan mereka. Maka mereka cuba
menuruti kaedah yang telah terbukti berjaya dilakukan oleh puak sekular
Zionis itu, dengan harapan umat Islam tidak lagi hanyut dalam cereka
dongeng Imam Mahdi mereka dan kembali semula ke alam nyata. Maksud
mereka ialah umat Islam perlu bekerja keras untuk hidup dan maju di
dunia ini tanpa memerlukan bantuan daripada Imam Mahdi yang entah bila
akan munculnya itu. Demikian anggapan mereka.
Antara yang menolak kemunculan Imam Mahdi secara yang sederhana, bermula
daripada Ibnu Khaldun yang menyatakan bahwa hadis-hadis berkenaan Imam
Mahdi itu dhaif belaka, hanya sedikit-sedikit yang sahih. Beliau telah
mengkaji sebanyak tiga puluh buah hadis mengenai Imam Mahdi dari
pelbagai sudut. Kemudian beliau merumuskan pendapatnya itu dengan
menyatakan bahwa Imam Mahdi tidak akan keluar pada akhir zaman.
Hadis-hadis mengenai Imam Mahdi tidak sepatutnya diterima oleh seluruh
umat Islam, begitulah fahamnya.
Syeikh Mahmud Syaltut, salah seorang Syeikh Al-Azhar, Mesir pernah
menyatakan bahwa Nabi Isa AS sudah wafat dan tidak akan turun lagi ke
dunia. Beliau adalah anak murid kepada Syeikh Muhammad Abduh, dan
fahamannya adalah lanjutan dari fahaman gurunya yang menolak konsep Imam
Mahdi dan Nabi Isa AS. Di dalam kitabnya Fatawa, beliau menyangkal
kepercayaan tentang turunnya Nabi Isa AS sebagai tanda-tanda besar
kiamat. Fahamnya, apabila Nabi Isa AS tidak ada dan tidak turun ke dunia
ini, maka Imam Mahdi pun tidak ada juga kerana kedua-dua tokoh ini
adalah saling berkait, seperti saling berkaitnya jerami-jerami yang
membentuk sehelai tikar. Tidak akan sempurna yang satunya tanpa adanya
yang satu lagi.
Syeikh Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid menyebutkan bahwa, sesetengah
penulis (ulama) yang membahaskan segala perkara yang datang dalam soal
Al-Mahdi dan Dajjal itu, sebenarnya adalah suatu perkara dongeng yang
berasal daripada kisah-kisah Israiliyat. Oleh itu, semua cerita tentang
Imam Mahdi hendaklah ditolak bulat-bulat oleh sekalian umat Islam.
Begitu juga Dr. Khalil Haras yang mentashihkan kitab Khasa’is Imam
as-Suyuti RH, menyebutkan bahwa semua hadis berkenaan Al-Mahdi itu,
tidak ada walau sebuah pun daripadanya yang sah, dengan kepercayaan
Syiah tertera jelas padanya. Oleh karena akidah Syiah jelas bercanggah
dengan akidah Ahlus Sunnah, menurut beliau, konsep Imam Mahdi ini
haruslah ditolak keseluruhannya, sama seperti kita menolak akidah Syiah
keseluruhannya.
Syeikh Muhammad Abduh juga dilaporkan pernah menyebutkan bahwa Imam
Mahdi itu tidak ada, sambil menolak kemunculannya pada akhir zaman.
Dajjal itu tidak ada dan Nabi Isa AS sudah wafat, tidak akan turun lagi
ke dunia ini kerana orang yang sudah wafat tidak akan hidup lagi ke
dunia ini. Kewafatan Nabi Isa AS sudah dijelaskan oleh al-Quran sendiri,
seperti yang terdapat di dalam Surah Ali Imran, ayat 55, katanya.
Anak muridnya, Syeikh Muhammad Rasyid Ridha al-Qalmuni menulis di dalam
majalah Al-Manar bahwa, Syeikh Muhammad Abduh ketika ditanya mengenai
Dajjal dan Nabi Isa AS, menjelaskan yang Dajjal itu adalah andaian atau
bayangan karut dan bohong. Rasyid Ridha juga menyatakan pendapatnya
sendiri bahwa tiada nas yang sahih dan tegas tentang turunnya Nabi Isa
dari langit. Hal itu hanyalah akidah kepercayaan kebanyakan orang
Kristian, dan mereka telah mencuba sepanjang zaman sejak kelahiran Islam
lagi untuk menyebarkan akidah itu di kalangan umat Islam.
Dalam kesempatan yang lain, Syeikh Rasyid Ridha menyatakan pula
pendiriannya sendiri bahwa kepercayaan terhadap kemunculan Imam Mahdi
pada akhir zaman adalah kepercayaan yang berbahaya. Unsur-unsur dongeng
adalah jelas sekali di dalamnya. Katanya;
Sekalipun al-Mahdi memang akan muncul, sikap kami tidak mempercayainya
tentu tidak menjejaskan iman, sekalipun jika al-Mahdi itu benar-benar
mempunyai kuasa luar biasa seperti yang didakwakan.
Syeikh Abdul Mut’al as-Sha’iedi dalam Al-Mujaddidun Fil Islam,
menyebutkan bahwa, telah tersebar pada orang-orang Islam pendapat
mengenai Imam Mahdi al-Muntazar. Mereka mempunyai hadis-hadis daripada
Rasulullah SAW, sedangkan Ibnu Khaldun telah menyatakan dengan lebih
lanjut bahwa hadis-hadis itu sanad-sanadnya dhaif, tetapi hadis-hadis
itu telah sedia masyhur di kalangan orang Islam.
Abul A’ala al-Maududi al-Hindi diketahui mempunyai dua pendapat berbeda
mengenai Imam Mahdi. Pendapat kedua beliau ialah menolak konsep Imam
Mahdi dengan menyatakan bahwa;
Tidaklah boleh ditafsirkan bahwa dalam Islam ada suatu jawatan yang
dinamakan al-Mahdi, hingga umat Islam wajib meyakininya. Jika tidak,
akan terjadi hal-hal yang merosakkan akidah dan kehidupan mereka di
dunia dan di akhirat.
Apa yang sesuai disebutkan berhubung dengan perkara ini ialah bahwa
kepercayaan terhadap al-Mahdi bukan sebagian daripada akidah Islam.
Tidak ada sebuah pun kitab karangan ulama Ahlus Sunnah menyebutnya
(bahwa konsep al-Mahdi adalah soal akidah).
Antara penulis yang bersikap melampau dalam pendapat dan penulisan
mereka mengenai Imam Mahdi adalah seperti Syeikh Muhammad Fahim Abu
‘Ubaih dalam kitabnya Naskhatul Asli Bidayah Wan Nihayah, Al-Hafiz Ibnu
Kasir, pada bagian Al-Fitan Wal Malahim menyebutkan bahwa,
Kita berjalan mengikut pihak yang mengatakan bahwa keluar Al-Mahdi dan
turunnya Nabi Isa AS, kedua-duanya adalah bayangan bagi kemenangan,
kebaikan di atas kejahatan dan Dajjal itu bayangan bagi melampaunya
fitnah dan banyak sesat pada sesuatu masa, kemudian akan hapus dengan
datangnya kebenaran daripada Allah. Adapun binatang (Dabbatul Ardhi)
yang disebutkan oleh Al-Quran bukanlah seperti yang disifatkan oleh
riwayat-riwayat hadis yang pelik dan menghairankan. Hanya ia suatu jenis
binatang yang melata di atas bumi, membinasakan manusia dan harta benda
mereka, ketika manusia itu sedang bermaharaja lela dengan kecelaan.
Sebahagian dari binatang itu adalah ham-ham yang membawa kebinasaan dan
mengancam harta benda…
Dia menafikan hadis-hadis yang menyatakan bahwa Sayidina Umar RA hendak
membunuh Dajjal dari jenis manusia itu dan menafikan erti Dajjal yang
Rasulullah SAW perintahkan kita, supaya berlindung daripadanya di dalam
setiap tahiyat akhir sebelum salam.
Begitu pula seorang penulis buku-buku sejarah dan peguam sivil di
Kaherah, Muhammad Abdullah Annan (atau ejaan Inggerisnya M. A. Enan),
menyebutkan bahwa dongeng Al-Mahdi itu bukannya buatan orang-orang
Syiah, walaupun mereka turut menggunakannya. Dongeng semacam ini sudah
pun ada dan bermula sejak zaman Nabi SAW lagi. Ada beberapa buah hadis
yang bermacam-macam jenis, yang menunjukkan dongengnya Al-Mahdi itu,
sedangkan hadis-hadis itu disyaki dan banyak dipertikaikan orang. Ada
perkataan-perkataan yang dikatakan datang dari satu kumpulan sahabat
utama (asar)… seperti juga halnya Al-Mahdi, ada pula Al-Masihul
Muntazir, yang ia berasal dari Yahudi dan di dalam Islam ia mempunyai
tempat juga, bercampur aduk dengan kisah Al-Mahdi. Dikatakan orang bahwa
Al-Masihul Muntazir akan datang selepas datangnya Al-Mahdi atau dia
datang bersama-samanya dan dia berimam dengannya.
Di dalam bukunya yang bertajuk Detik-detik Menentukan dalam Sejarah
Islam, beliau yang menganggap kepercayaan terhadap Imam Mahdi itu
sebagai dongeng yang dipercayai oleh umat Islam. Beliau bersikap amat
sinis terhadap tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang percaya kepada konsep
Imam Mahdi, terutamanya al-Kindi dengan menyatakan,
“Suatu keterangan yang ganjil daripada seorang tokoh filsuf yang berfikiran liberal.”
Di sini, Muhammad Abdullah Anan telah melakukan banyak kesalahan, dari
yang besar hinggalah kepada yang kecil. Yang besarnya ialah dia menuduh
Nabi kita SAW membiarkan berlakunya dongeng Al-Mahdi pada zaman baginda
itu, dan menuduh para sahabat yang utama menyebarkan dongeng Al-Mahdi.
Kemudian dia mengecam pula secara borong para ulama yang percaya kepada
kemunculan Imam Mahdi. Kalau ikutkan mazhab Maliki, Muhammad Abdullah
Anan itu hendaklah dihukum pancung kerana menuduh Rasulullah SAW cuai
semasa menyampaikan ajaran Islam sehingga ada cerita-cerita dongeng yang
dibiarkan begitu sahaja tanpa baginda tegah.
Yang kecilnya, beliau begitu prihatin terhadap cendekiawan lain yang
percaya kepada kemunculan Imam Mahdi, lalu disindirnya habis-habisan
seolah-olah kepercayaan sebegitu adalah suatu kesalahan yang besar dan
tidak akan diampunkan oleh Tuhan. Atau mungkin beliau mempercayai
ketokohan dan kecendekiawanan al-Kindi itu telah tercemar teruk akibat
beliau percaya kepada kemunculan Imam Mahdi. Kerana itu, beliau pun
berusaha menunjukkan kepada seluruh orang Mesir bahwa al-Kindi telah
tersilap percaya dalam kes ini. Atau dia sendiri merasakan dirinya sudah
cukup cerdik sehingga setaraf dengan al-Kindi, sebab itulah dia boleh
membangkang apa sahaja yang dirasakannya tidak kena dengan pemikiran
al-Kindi itu.
Sebagai seorang peguam yang terkenal, beliau sepatutnya tidak ikut
campur tangan dalam perkara yang bukan menjadi bidang tugasnya. Beliau
adalah seorang sarjana yang datang dari lulusan undang-undang sivil,
bukannya dari kalangan yang berpendidikan agama yang tinggi, dan beliau
pun tidak pernah begitu mendalami perkara yang cuba diterokanya itu.
Hanya dengan mendengar-dengar sahaja beberapa aspek mengenai Imam Mahdi,
beliau terus sahaja membuat kesimpulan, tanpa merujuk kepada
sumber-sumber yang lebih berwibawa. Maka jadilah beliau seperti tikus
yang cuba membaiki labu.
Syeikh Abdullah bin Zeid, Yang Dipertua Mahkamah Syariah dan Hal Ehwal
Agama Qatar, pernah menulis di dalam kitabnya Majmu’ ar-Rasail yang
(terjemahannya) berbunyi kira-kira begini,
"Para penyokong konsep al-Mahdi mendakwa bahwa al-Mahdi akan membawa
keamanan dan keadilan di dunia dalam tempoh tujuh atau sembilan tahun.
Apakah ini berarti bahwa al-Mahdi akan dibantu oleh kuasa luar biasa
atau mukjizat?
Apakah al-Mahdi akan mendapat bantuan daripada malaikat atau dari para jin, seperti pertolongan yang didapati oleh Nabi Daud AS?
Apakah al-Mahdi itu lebih mulia dan lebih agung daripada Nabi Muhammad
SAW yang selama 23 tahun berjuang menegakkan agama Allah dengan bantuan
mukjizat al-Quran dan mendapat kecederaan di kepalanya sedangkan
kejayaannya terbatas di jazirah Arab sahaja?
Secara jujur saya katakan bahwa saya adalah salah seorang dari keturunan
Rasulullah SAW dari Hasan bin Ali. Andainya pada hari ini ada seorang
yang bernama Muhammad bin Abdullah, berdahi luas, berhidung mancung,
tinggi, (lalu) mengaku sebagai al-Mahdi, sayalah orang yang pertama
menentangnya kerana saya yakin dia adalah pendusta yang ingin mencemar
kesucian agama Islam."
Selain golongan yang menolak terus kedatangan Imam Mahdi ke dunia ini,
ada pula segolongan lain yang menyatakan bahwa hakikat Mahdi yang
dimaksudkan itu tidak berbentuk manusia. Mahdi itu mungkin hanya
berbentuk hasil perjuangan seluruh umat Islam. Syeikh Muhammad Ali
az-Za’bi, seorang ulama dari Lubnan menyatakan (terjemahannya) kira-kira
begini:
"Walaupun pendapat mengenai al-Mahdi itu berbagai-bagai, masing-masing
pihak bersetuju mengatakan bahwa ia adalah satu bentuk bantuan yang akan
datang agar para pejuang Islam yang lemah tidak putus asa… Tidak
penting bagi kita sama ada bantuan itu berupa seorang manusia atau
berupa hasil perjuangan kita, karena kita telah bersepakat bahwa
kedatangannya sebagai pelaksana ajaran-ajaran Allah. Adalah menjadi
kewajipan kita berusaha melaksanakannya agar kita dapat menikmati
kedatangan al-Mahdi itu walaupun ia mungkin datang dalam bentuk bukan
manusia…"
Di negara kita sendiri, ramai cendekiawan Islam hari ini yang
menunjukkan penentangan secara terang-terangan terhadap konsep Imam
Mahdi. Salah seorang yang kuat menentang konsep Imam Mahdi ini adalah
Prof. Madya Dr. Abdulfattah Haron Ibrahim dari Universiti Kebangsaan
Malaysia. Beliau telah merumuskan bahwa amalan tarekat sebenarnya tidak
ada dalam Islam, samalah seperti konsep Imam Mahdi yang juga tidak wujud
dalam akidah Islam. Pendapatnya ini dibentangkan oleh beliau dalam
kertas kerjanya di Simposium Falsafah Islam, pada bulan Disember 1988.
Beliau turut menolak semua andaian di dalam buku Aurad Muhammadiah
Pegangan Darul Arqam yang ditulis oleh Ustaz Haji Ashaari Muhammad
mengenai pengasas Aurad Muhammadiah atau tarekat Muhammadiah. Beliau
turut memetik pendapat Ibnu Khaldun dan secara tegas menyatakan bahwa
konsep Imam Mahdi adalah datang dari pengaruh Syiah dan falsafah
Neoplatonisme. Secara umumnya, daripada penolakan kedua-dua masalah
berkenaan, beliau sebenarnya telah menolak konsep Imam Mahdi dan tarekat
sekali gus.
Di sini, beliau kelihatan lebih dipengaruhi oleh pendapat Ibnu Khaldun
dan Wahabi yang mengikut pendapat Ibnu Taimiyah. Ibnu Taimiyah, seperti
diketahui, menolak sama sekali konsep tarekat dalam Islam dan menolak
juga konsep Imam Mahdi. Sayangnya, pendapat profesor madya ini amat
berat sebelah. Beliau hanya memasukkan pendapat orang yang menentang
konsep Imam Mahdi, tanpa menyentuh langsung pendapat ulama-ulama
muktabar yang yakin dengan konsep Imam Mahdi ini.
Selain beliau, ramai lagi cendekiawan Islam yang menolak konsep Imam
Mahdi ini. Hanyalah nama mereka adalah nama-nama kecil, maka pendapat
dan nama mereka kuranglah terserlah. Jika dikenali pun, hanyalah di
dalam kelompok yang lebih kecil dan tidak menonjol sangat. Oleh itu,
pendapat mereka dianggap hanya menumpang pada pendapat tokoh-tokoh
cendekiawan lain yang lebih terkenal. Berbeda dengan ulama pondok,
kebanyakan mereka percaya kepada konsep Imam Mahdi, dan mereka juga
lazimnya berpendapat bahwa masalah ini adalah perkara yang diikhtilafkan
oleh para ulama Islam sejak dahulu.
Demikianlah beberapa nama yang sudah tercatat di dalam sejarah umat
Islam sebagai golongan yang sudah berlebih-lebihan dalam penentangan
mereka terhadap kemunculan Imam Mahdi, Nabi Isa AS dan Dajjal. Sikap
seperti ini amat tidak digalakkan oleh Islam, kerana aspek ilmu yang
sebenar-benarnya dan tujuan mendapatkan kebenaran hendaklah diletakkan
di hadapan sekali, melebihi daripada sebarang kepentingan peribadi.
Sikap seperti ini hanya akan membawa lebih banyak perpecahan di kalangan
umat Islam, memanjangkan pertelingkahan, menambahkan lagi retak
persaudaraan yang telah pun sedia retak, dan amat menggembirakan hati
musuh Islam yang sebenarnya bertempik sorak kegembiraan di belakang
kita, tanpa kita sedari. Sikap yang penuh emosi seperti ini hendaklah
dielakkan sungguh-sungguh daripada diri kita semua.
Apa dan siapa yang mereka tentang sebenarnya? Kenapa mereka
menentangnya? Ada beberapa golongan yang mereka tentang dan ada
beberapa sebab mereka menentang masalah Imam Mahdi ini. Antara golongan
yang mereka tentang itu adalah hadis-hadis Rasulullah SAW itu sendiri.
Mereka menentangnya kerana beranggapan hadis-hadis itu dhaif dan patut
ditentang sepenuhnya. Jangan percaya walau kepada sebuah hadis pun.
Begitulah kehendak hati mereka sebenarnya.
Jika seseorang itu mengingkari kemunculan Imam Mahdi semata-mata dengan
alasan bahwa hadis-hadisnya dhaif, maka hal itu bolehlah kita berlapang
dada dan menganggapnya sebagai tidak apa-apa. Tetapi jika penolakannya
itu dibuat dengan pengingkaran secara mutlak dan dikaitkan pula dengan
hal-hal lain yang sebenarnya lebih berupa zanni, ditolak secara
melampau-lampau, semata-mata dengan menggunakan logik akal mentahnya dan
malah kadang-kadang alasannya tidak logik, maka penolakan itu hendaklah
ditentang
Tidak sepatutnya penerimaan atau penolakan terhadap sesuatu perkara itu
dilakukan secara terburu-buru, terlalu mengikut nafsu, dengan penuh
emosi terhadap pihak yang satu lagi, menghina dan merendah-rendahkan
pendapat pihak yang tidak sependapat dengannya dan terlalu
membesar-besarkannya sehingga menjadi berlebih-lebihan pula, maka
semuanya itu adalah tidak selari dengan semangat dan roh yang
dikehendaki oleh Islam. Sepatutnya kita bersikap sederhana dan meraikan
pendapat pihak lain, kerana itulah ilmu yang ada pada mereka dan itu
jugalah keyakinan mereka.
Golongan kedua yang mereka tentang adalah umat Islam sendiri, iaitu yang
percaya kepada kemunculan Imam Mahdi itu. Umat Islam yang percaya ini
ditentang karena kononnya mereka terlalu mudah percaya kepada sesuatu
perkhabaran, sedangkan mereka tidak mempunyai ilmu yang mendalam dan
tidak mendapat bukti yang benar-benar kukuh. Golongan ketiga yang mereka
tentang adalah dari kalangan ahli tasawuf atau ahli sufi yang begitu
yakin dengan konsep Imam Mahdi dan membawa pula beberapa cerita yang
langsung tidak masuk dek akal. Sudahlah hadis-hadis mengenai Imam Mahdi
itu dhaif, mereka ini bawakan pula cerita-cerita yang lebih berbentuk
fantasi. Akhirnya umat Islam terus diselimut oleh khayalan-khayalan yang
menyebabkan mereka terus mundur berbanding umat Barat.
Timbul satu lagi pertanyaan baru. Jika semua hadis mengenai Imam Mahdi
dan Nabi Isa AS ditolak oleh ulama gerakan tajdid seperti Muhammad
Abduh, Rasyid Ridha dan al-Maududi, apakah ini bererti bahawa mereka
juga menolak semua hadis yang menyebutkan alamat-alamat besar kiamat?
Sebahagian besar dari alamat kecil kiamat sudahpun berlaku, malah ramai
percaya bahwa semua alamat kecil kiamat seperti yang disabdakan oleh
baginda SAW itu sudahpun benar-benar berlaku. Yang belum berlaku lagi
hanyalah tanda-tanda besarnya sahaja.
Jika semua hadis mengenai Imam Mahdi dan Nabi Isa AS ditolak, maka
tanda-tanda lain juga banyak yang harus ditolak sama seperti Dajjal,
Yakjuj dan Makjuj, terbit matahari dari sebelah barat, datang api,
dimatikan semua orang Islam oleh angin sejuk dan dikumpulkan manusia di
Syam. Dan berdasarkan bukti-bukti pembacaan yang pernah diterima, memang
mereka secara halusnya menolak kemunculan tanda-tanda besar di atas
kerana tidak ada disebutkan di dalam al-Quran.
SUMBER
Wednesday, 28 November 2012
SEBAB TERDAPAT PIHAK YANG MENOLAK KEMUNCULAN IMAM MAHDI
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 comments :
Post a Comment